Saturday, March 20, 2010

hish, ego tinggi amat sich..!!

salam..


Ego merupakan salah satu penyakit batin yang menghinggapi tidak kepada satu bangsa sahaja, tapi ia merupakan penyakit antarabangsa yang dihidapi oleh semua orang tanpa mengira agama termasuk juga makhluk rohani iaitu

Iblis dan Syaitan.


Makhuk yang pertama yang dihidapi penyakit ego ialah Iblis (laknatullah). Makhluk Bani Adam yang pertama dihinggapi penyakit ego ialah Qabil. Punca mereka terkena penyakit ego ialah kerana merasa diri sempurna, menghina orang lain dan menolak kebenaran yang telah ditetapkan oleh Allah.


Iblis merasa dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam a.s. sehingga mendorong dirinya tidak mahu tunduk atau tidak mahu menghormati Nabi Adam a.s. selaku makhluk manusia yang Allah muliakan daripada lain-lain makhluk. Lalu Iblis mengingkari perintah Allah supaya sujud atau menghormati Nabi Adam a.s.. Sedangkan para malaikat semuanya patuhi perintah Allah itu.


Keengganan Iblis untuk menghormati Adam a.s. sehinggalah ke zaman Nabi Musa a.s., Iblis pernah datang menemui Nabi Musa supaya Nabi Musa berdoa kepada Allah supaya Allah ampuni dosanya dan ia (Iblis) ketika memohon kepada Nabi Musa a.s. dalam keadaan menangis dan amat menyesal sekali. Akan tetapi setelah Nabi Musa a.s. memohon, maka Allah pun makbulkan doanya dengan syarat Iblis hendaklah sujud kepada kubur Nabi Adam a.s..


Mendengarkan syarat itu, maka Iblis pun melenting dan berkata : "Masakan aku nak sujud kepada Adam setelah ia wafat, sedangkan sewaktu hidupnya pun aku tidak mahu sujud." Iblis pun berlalu dan tidak jadi bertaubat dan ia terus dengan sikap egonya (sombong).


Sementara Qabil pula,ia merasakan ia tidak layak berkahwin dengan Lubada (pasangan yg lahir bersama Habil), kerana Lubada kurang cantik sedangkan pasangan yang lahir bersamanya (kembarnya) iaitu Iqlima lebih cantik, sedangkan Iqlima ditetapkan oleh Allah melalui wahyuNya kepada Adam a.s. supaya berkahwin dengan Habil.


Kerana merasakan dirinya lebih utama, maka Qabil menolak ketetapan itu. Bukan setakat itu sahaja, bahkan berpunca daripada ego, maka timbul pula sifat dengki Qabil terhadap Habil, lalu ia bertindak membunuh adiknya, Habil. Demikian juga dengan Iblis, ia bukan sahaja tidak mahu tunduk kepada Adam a.s., bahkan ia mengkhianati Adam dengan cara ia menipu sehingga Adam a.s. makan buah khuldi dan Adam a.s. pun dikeluarkan daripada syurga.


Ego merupakan ibu segala penyakit mazmumah. Daripada ego (sombong) lahir penyakit ingkar dan menolak kebenaran serta menghina orang lain. Setelah itu timbul rasa dengki dan diikuti dengan mengkhianati orang yang didengkikan itu. Daripada penyakit egolah timbul segala krisis dan persengketaan di antara sesama insan dimuka bumi Allah ini, samada sesama Islam atau sesama bukan Islam. Tidak boleh tergurus sedikit, maka berlakulah cabar mencabar sehingga mencetusnya rusuhan dan pertumpahan darah.


Jadi untuk atasi krisis dan persengketaan yang berlaku diantara sesama manusia, maka ubatilah dahulu penyakit ego itu dan hiasilah dengan sifat tawadhuk, merendah diri.


Ya Allah... kami memerlukan taufiq daripadaMu untuk kami hapuskan segala sifat mazmumah ini dan menghiasi diri kami dengan sifat-sifat mahmudah sehingga kami dapat menjadi hambaMU yang sentiasa dekat denganMu.


2. EGO SALAH SATU CABANG PENYAKIT JIWA YANG TERCELA DAN MERBAHAYA.

Ego merupakan salah satu diantara penyakit-penyakit batin (jiwa) seperti riak, ujub, sum'ah, pemarah, gila puji, gila nama dan lain-lain. Penyakit ego merupakan punca timbulnya segala jenis penyakit jiwa yang bukan sahaja boleh mengganggu keseimbangan jiwa dan fikiran seseorang, bahkan boleh membawa bencana kepada masyarakat kalau ia tidak dikawal dan diubati.


Antara punca berlakunya pertelegahan dan peperangan diantara umat manusia dimuka bumi ini adalah kerana salah satu pihak daripadanya atau kedua-dua pihaknya bersifat ego iaitu tidak mahu tunduk atau berlapang dada, serta bertolak ansur di antara salah satu dengan lain.

Dalam pengajian ilmu jiwa islam ( tasauf ) , 'ego' dikenali juga dengan istilah 'takabbur' atau 'sombong'.

Imam Al-Ghazali mendifinasikan penyakit ego itu ialah :

"Perasaan merasai diri lebih sempurna atau baik atau mulia daripada orang lain dari segi keturunan, kedudukan, ilmu pengetahuan, kebagusan rupa paras dan lain-lain dan bersikap menghina pula sesama mukmin dan menolak kebenaran."


Islam memandang ego sebagai salah satu sifat akhlak yang buruk dan menjadi penghalang untuk ke syurga, sepertimana Nabi saw ada bersabda :

" Tidak akan masuk syurga siapa yang didalam hatinya terdapat sifat ego walaupun sebesar atom (zarrah)." - Hadith riwayat oleh Muslim

Dalam Al Quran Allah mencela sifat ego, maksudnya :

"Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang bersifat ego." - Surah An Nahl ayat 23

Firman Allah lagi maksudnya :

"Sesungguhnya orang-orang yang bersifat ego (menyombong diri) daripada menyembah Aku, mereka akan masuk ke dalam neraka jahannam dan menderita kehinaan didalamnya." - Surah Al Mukmin ayat 60

Nabi saw pula mengistiharkan bahawa :

"Allah tidak memandang kepada orang yang bersifat ego." - Riwayat oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim

Selanjutnya Nabi saw memberi amaran :

"Barangsiapa yang tersemat didalam hatinya sifat ego walaupun sebesar biji sawi, nescaya ditelungkup mukanya oleh Allah kedalam api neraka." - Riwayat Imam Ahmad, Imam Al Baihaqi daripada Abdullah bin Amr

Nabi saw menegaskan lagi :

"Isi neraka itu adalah bagi setiap orang yang bersifat kasar, ego, angkuh terhadap sesama mukmin, mengumpul harta dan tidak mahu memberi (membantu) kepada yang berhak menerima bantuan." - Riwayat Imam Ahmad dan Imam Al Baihaqi


Kenapa orang yang bersifat ego dicela dan dikutuk oleh Allah? Menurut Imam Ghazali orang yang besikap ego dianggap telah melakukan salah satu dosa diantara dosa besar kerana orang yang bersifat ego itu telah memakai pakaian kebesaran Allah. Makhluk dilarang mengenakan pakaian kebesaran Allah itu.


Tersebut didalam hadith Qudsi, bahawa Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman maksudnya :

"Takabur (ego) ialah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu. Siapa yang menyamaiKu (memakai pakaian Aku), maka pasti Aku lemparkannya ke dalam neraka jahannam dan Aku tidak mempedulikannya lagi." - Riwayat Imam Muslim


Di dalam sejarah, makhluk pertama yang berani memakai pakaian kebesaran Allah itu ialan Iblis laknatullah. Iblis sewaktu diperintah oleh Allah supaya sujud dan taat kepada Adam as kerana Adam as dilantik sebagai khalifah dimuka bumi, ia telah enggan, sedangkan semua para malaikat mentaati perintah itu. Iblis telah bersikap ego kerana ia lebih mulia dan baik daripada Adam as.


Akibat daripada sikap ego, Iblis dikutuk oleh Allah dan ia dijatuhkan pangkat daripada ketua bagi segala hamba Allah (malaikat) kepada penderhaka yang dilaknat dan diakhirat direjam kedalam neraka jahannam. Sejak daripada itu sifat ego telah menjadi sifat (pakaian) Iblis dan siapa yang menirunya, maka ia senasib dengan Iblis.


Hakikat sebenarnya orang yang bersifat ego adalah hina disisi Allah, walaupun zahirnya kelihatan ia lebih mulia daripada orang lain. Nabi saw telah menegaskan, maksudnya :

"Barangsiapa yang bersifat tawadhuk kerana Allah, ia akan diangkatdarjat oleh Allah dan barangsiapa yang bersifat ego, ia akan dijatuhkan (dihina) oleh Allah." - Hadith riwayat oleh Imam At Tabrani, Imam A Bazar dan lain-lain


CABANG-CABANG PENYAKIT EGO

Imam Al Ghazali didalam kitabnya Ehya' Ulumuddin telah membahagikan sifat ego itu kepada dua cabang iaitu 'batiniah' dan 'zahiriah'. Cabang yang pertama ialah yang tumbuh di dalam hati (batiniah) dan cabang yang kedua ialah yang tumbuh melalui anggota dan tindak tanduk zahir (zahiriah).


Cabang yang tumbuh didalam hati ialah yang menyemarakkan rasa sombong terhadap makhluk dan mengganggu keseimbangan fikiran dan jiwa iaitu yang timbul didalam hati perasaan menghina orang lain, menganggap orang lain bodoh, dungu, tidak cekap, dialah yang pandai, bijak dan sempurna daripada orang lain.


Sementara cabang yang tumbuh pada tindak tanduk zahirnya pula, menimbulkan sikap Iaitu :

* Tidak mempunyai sifat balas kasihan kepada sesama mukmin. Mementing dan mengutamakan diri sendiri.

* Berakhlak buruk (berperangai jahat). Cakap besar dan selalu puji diri serta suka merendah-rendahkan orang lain.

* Berdendam.

* Cakapnya tidak boleh dipegang. Sentiasa memutar belitkan cakapnya untuk membersihkan diri.

* Tindak tanduknya tidak boleh dipercayai.

* Tidak pandai dan tidak boleh memberi nasihat kepada orang lain dengan cara baik (berhikmah). Kalau ia memberi

nasihat, dengan cara kasar dan mengutuk orang yang melakukan kesalahan itu.

* Tidak jujur dalam segala hal.

* Ia tidak boleh menerima nasihat walaupun nasihat dan pandangan yang diberikan kepadanya secara baik dan

jujur, ia tidak akan menerima.

* Sentiasa bersikap pemarah.

* Pendengki dan mengkhianati sesama mukmin.

* Suka mengumpat dan mengejek-ngejek akan aib orang lain..

* Tidak suka mengadakan perbincangan atau meminta pandangan orang lain terhadap sesuatu masalah, kerana dianggap pandangan dan pendapatnya betul dan orang lain tidak betul.

* Dan banyak lagi sikap negatif yang timbul dari sifat-sifat ego.


Kalau menurut Imam Al Ghazali, orang-orang yang didalam hatinya terselit sifat ego ia tidak lagi memiliki sedikit pun budi pekerti (akhlak) yang baik, semuanya buruk. Sehingga ia terpaksa menggunakan semua pekertinya yang buruk itu untuk menaikkan imejnya dimata umum secara mempropagandakan kebaikan yang telah dilakukannya untuk menutup keburukan dan aibnya dan dalam masa yang sama ia melakukan fitnah terhadap orang lain yang dirasakan boleh mengatasi atau bersaingan dengannya atau yang ditakuti akan mendedahkan segala temberang dirinya.


Orang yang bersifat ego, tambah Imam Al Ghazali, ia tidak silu-silu untuk menghina orang lain samada dihadapan umum atau dibelakang atau menolak setiap kebenaran dan nasihat-nasihat yang baik yang diajukan kepadanya.


Dalam hal ini Nabi saw ada bersabda :

"Takbur itu ialah menolak kebenaran dan menghina sesama makhluk." - Hadith riwayat Imam Muslim, Imam Al Baihaqi, Imam Ahmad dan Imam At Tabrani


Jelaslah seseorang yang menghina sesama mukmin dengan apa cara pun sehingga dengan pandangan mata yang menghina atau mengejek dan suka menolak kebenaran beerti ia mempunyai sifat ego didalam hatinya. Orang bersifat ego tidak segan silu untuk mengabai dan melanggar hak-hak Allah swt.


Sikap demikian tidak ubah seperti sifat orang-orang kafir sepertimana yang disebutkan olen Allah da dalam Al Quran, maksudnya :

"Berkata orang-orang kafir, janganlah kamu semua mendengar akan Al Quran dan buat bisinglah ketika Al Quran itu dibaca dan diperdengarkan kepada kamu, supaya kamu mendapat kemenangan." - Surah As Sajadah ayat 26


Kiasan daripada itu, tanda dan sifat ego ialah apabila ia diberi nasihat dan diceritakan tentang kebenaran ia buat dengar tidak dengar sahaja atau ia mencari jalan mengganggu program kebenaran itu.

Ibnu Mas'ud berkata :

"Cukuplah seseorang itu dianggap telah berdosa, apabila dikatakan kepadanya, bertaqwalah kamu kepada Allah. Lalu ia menjawab, jagalah dirimu sendiri (jangan jaga tepi kain orang)." Sikap demikian melambangkan sikap ego.

An Nukman bin Basyir berkata :

"Sesungguhnya Syaitan itu mempunyai perangkap. Diantara perangkap syaitan itu ialah derhaka kepada Allah, angkuh dengan pemberian Allah (sombong dengan kelebihan yang Allah berikan). Sombong kepada hamba-hamba Allah dan menurut kehendak yang bukan Zat Allah.


PUNCA-PUNCA SESEORANG ITU DIHINGGAPI EGO

Diantara punca seseorang itu boleh timbul perasaan dan bersikap ego ialah berhubungan dengan beberapa kelebihan yang terdapat pada dirinya. Syaitan sentiasa meniupkan rasa hairan diri (ujub) kepada orang yang memiliki kesempurnaan dan kelebihan disatu-satu bidang itu, yang dikurniakan oleh Allah khusus untuknya.


Siapa yang lalai atau terlupa bahawa setiap kelebihan yang dikurniakan oleh Allah itu sebagai satu amanah, supaya digunakan semata-mata untuk jalan Allah. Maka ia akan jadikannya sebagai alat untuk menyombongkan diri dan menunjuk-nunjuk kelebihannya kepada orang lain. Syaitan pula sentiasa memupuk sifat ego itu.


Antara kelebihan-kelebihan yang boleh seseorang itu merasakan dirinya sempurna daripada orang lain ialah :

1. Ilmu Pengetahuan

Ilmu pengetahuan yang banyak yang dimiliki oleh seseorang, kalau tidak dikawal hatinya dengan sifat-sifat rendah diri (tawadhuk), ia boleh bersikap ego dengan ilmunya.

Inilah diantara bahaya yang amat besar dan ditakuti oleh Nabi saw, iaitu bertambah ilmu bertambah pula ego (kesombongan)nya. Kesombongan yang dimaksudkan itu ialah ia merasakan dirinya sempurna (berilmu) dan menganggap orang lain bodoh.

Nabi saw pernah bersabda :

" Diantara bahaya yang ditimpa keatas orang yang berilmu ialah ia suka bercakap dan tidak mahu mendengar."

Kerana itu Abu Darda' berkata :

" Barangsiapa yang bertambah ilmunya, nescaya bertambah pula sakitnya."

Sakit yang dimaksudkannya disini ialah sakit jiwanya kerana dihinggapi oleh sifat ego dan ia sentiasa bimbang dengan orang yang dirasakan hendak mengatasinya dibidang ilmu pengetahuan.


Punca seseorang itu bertambah ilmu bertambah egonya, menurut Imam Ghazali ialah kerana :

i) Ilmu yang dituntut itu ialah bukan ilmu yang mendorong dirinya bertambah dekat dengan Allah. Diantaranya ialah ilmu-ilmu yang berhubung dengan keduniaan seperti ilmu kedoktoran, ilmu matematik, ilmu bahasa, ilmu sastera, ilmu mantiq, ilmu pidato dan lain-lain. Ilmu-ilmu tersebut kalau tidak diiringi dengan ilmu yang boleh mengawal dan mendidik persoalan hati boleh mendatangkan sifat ego.

ii) Orang yang melibatkan diri dibidang ilmu pengetahuan tersebut tidak lebih dahulu membetul dan membersihkan hatinya daripada sifat-sifat mazmumah. Niatnya untuk memiliki ilmu itudiatas dasar ia ingin dikenali sebagai seorang yang berilmu dan ia tidak suka pula untuk beribadah kepada Allah dan membersihkan dirinya daripada sifat-sifat keji (mazmumah).

Kerana itu Wahab Munabbih bermadah :

" Ilmu umpama hujan yang turun dari langit. Keadaannya bersih, suci dan manis. Sampai ke bumi semua pohon menjalarkan akar untuk mengambil faedahnya. Pohon yang buahnya pahit akan tetap pahit dan pohon yang buahnya manis akan menambahkan kemanisannya."


Demikian perumpamaannya dengan ilmu yang meresap kedalam jiwa seseorang manusia. Orang yang asalnya mempunyai jiwa yang baik akan mendorong ia menjadi bertambah baik. Tapi bagi orang yang asalnya berjiwa jahat, ilmu pengetahuannya tadi akan menambahkan kejahatan dalam jiwanya, iaitu bertambah sifat ego (sombong)nya.

Imam Al Ghazali ketika mengulas kata-kata Wahab Munabbih diatas berkata :

"Sebab boleh terjadi demikian kerana seseorang yang asalnya bersifat ego sedang saat itu ia jahil, setelah ia memperolehi ilmu, Ilmunya itu dijadikan alat untuk menyombong diri sesama makhluk. Maka bertambahlah sombong (egonya). Sebaliknya kalau seseorang itu asal hatinya telah takut kepada Allah, sedangkan saat itu ia jahil, apabila bertambah ilmu, bertambah faham akan erti takwa kepada Allah, maka ketika itu ia makin bertambah takwa dan tawadhuk.

2. Kelebihan Di Segi Amalan Dan Peribadatan

Seseorang yang sedar ia mempunyai kelebihan didalam bidang ibadah dan amalannya, tidak mudah dapat dikawal hatinya daripada dihinggapi perasaan ego, iaitu merasa dirinya sempurna daripada orang lain.


Dua perkara yang boleh menyebabkan timbul didalam hati seseorang ahli ibadat akan sifat ego. Pertama yang berhubung dengan keduniaan dan kedua berhubung dengan agama.


Perkara yang berkaitan dengan keduniaan ialah rasa senang hati apabila ia disebut sebagai seorang yang banyak beramal dan banyak beribadat. Dimana sahaja ia pergi sentiasa diberi perhatian dan keutamaan. Hal ini menyebabkan lama kelamaan akan menjadi bertambah ego, merasa diri mempunyai kelebihan.


Perkara yang berkaitan dengan keagamaan pula ialah bahawa ia menyangka dengan amalan dan ibadahnya yang banyak itu telah menjamin dirinya selamat dan ia tidak perlu bimbang lagi tentang kedudukannya di akhirat, pasti akan mendapat keistimewaan disisi Allah. Ia tidak lagi hadapi kesusahan dan azab daripada Allah.


Dalam masa yang sama ia menganggap orang lain tidak selamat. Hatinya sentiasa bimbang dengan orang lain dan ia lupa akan dirinya. Nabi saw dalam perkara ini menegaskan :

" Apabila kamu melihat ada orang berkata ; telah binasalah manusia, maka ketahuilah bahawa dialah yang sebenarnya binasa lebih daripada manusia yang dikatakannya. " - Hadith Riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah


Maksud binasa dalam hadith ini ialah binasa kerana sifat egonya, yakni ia telah menghina makhluk dan merasakan dirinya mulia atau merasa orang lain tak selamat dan dirinya sahaja yang selamat.


Ahli ibadat yang merasa dirinya sempurna pantang ia ditegur oleh orang lain, mudah tersinggung kerana ia menyangka ia tidak pernah melakukan kesalahan. Malah ada yang sanggup mendoakan kejahatan kepada orang yang mengkritik kesalahannya. Sebenarnya kelakuan seperti itu ditertawakan oleh syaitan sahaja.


Imam Ghazali, seorang ahli firasat, melihat tanda-tanda ahli ibadat yang ego itu diwajahnya. Menurut Imam Al Ghazali tanda-tanda ahli ibadat yang ego (sombong) ia boleh dilihat diwajahnya sentiasa muram, tidak ada senyum simpul seolah-olah ia sudah amat suci dan ia tidak mahu bergaul dengan menusia kerana semua manusia dianggapnya kotor dan berdosa belaka.


Orang yang bersifat demikian menurut Imam Al Ghazali ialah orang yang menjadi tawanan syaitan. Kerana Rasulullah saw adalah semulia-mulia makhluk, setakwa-takwa manusia, amat terpuji dan baik budi pekertinya, pun ia amat banyak memberi kegembiraan kepada manusia, wajahnya sentiasa jernih mengukir senyuman, dadanya lapang dan tidak menganggap orang lain bersalah terhadapnya, dan suka menerima pandangan dan buah fikiran daripada para sahabat.

Nabi saw tidak pernah lupa perintah yang terdapat didalam Surah Syu'ara' ayat 215 maksudnya :

" ......dan bersikap lemah lembutlah (sopan santun) terhadap orang yang mengikutimu daripada sekalian orang yang beriman. "

3. Merasai Kelebihan Dari Segi Keturunan Dan Salasilah

Biasanya seorang yang sedar bahawa ia daripada keturunan bangsawan, keturunan alim ulama, keturunan orang kemuliaan dan lain-lain ia akan merasai dirinya ebih mulia daripada orang lain dan menganggap orang yang tidak seketurunan dengannya sebagai orang yang hina. Tidak pantas ia menghormati orang lain walaupun orang lain lebih alim, lebih tua dan lebih bijak daripadanya. Dalam semua keadaan ia mahu dihormati dan dihargai. Apabila ada orang tidak menghormatinya, lalu ia mendabik dada " awak tak tahukah aku ni siapa? "


Peristiwa demikian pernah diceritakan oleh Nabi saw dimana ketika berlaku satu peristiwa seorang lelaki masing-masing membangga-banggakan diri. Seorang mengatakan bahawa " aku anak si anu " dan seorang lagi pun berkata pula bahawa " aku anak si anu ". Lalu Nabi saw bersabda : " Pernah dua orang lelaki membangga-banggakan diri masing-masing dihadapan Nabi Musa as, salah seorang mengatakan aku anak si anu dan si anu. Sehingga ia menghitungkan keturunannya. Lalu Allah swt mewahyukan kepada Nabi Musa as dalam firmannya ; Katakanlah kepada dua orang itu bahawa telah ada sembilan ahli neraka dan engkau termasuk orang yang kesepuluh akan masuk neraka yang sama bersama-sama mereka." - Hadith Riwayat oleh Abdullah bin Ahmad dari Ubai bin Ka'ab ***hadis ini sahih***

4. Kesombongan Yang Timbul Daripada Merasai Diri Cantik

Kesombongan (ego) dalam perkara ini biasanya menjakiti dikalangan kaum wanita. Peristiwa yang diriwayatkan sendiri oleh Siti Aisyah merupakan suatu pengajaran kepada kita.

Siti Aisyah suatu hari pernah menunjukkan kepada Nabi saw seorang wanita yang pendek. Nabi saw bersabda :

" Engkau telah mencacinya. " - Riwayat Al Baihaqi dari Aisyah ra


Nabi mengatakan demikian kerana hendak melarang dan mengingatkan Aisyah supaya tidak meneruskan sikap memperbanding-bandingkan dirinya dengan yang mempunyai kecacatan (aib) itu. Hal demikian menandakan bersikap ego, yakin merasai diri lebih cantik daripada orang lain, sedang perasaan demikian suatu dosa. Peristiwa yang berlaku diantara Siti Aisyah dengan wanita pendek itu adalah semata-mata untuk mendatang hukum untuk umat islam. Siti Aisyah dalam peristiwa itu bukan bersifat ego. Peristiwa itu adalah pengajaran untuknya dan untuk umat islam umumnya.

5. Kesombongan Berpunca Daripada Harta Benda Atau Kekayaan

Biasanya perasaan demikian menghinggapi para saudagar (ahli perniagaan), para penguasa dan orang yang memegang dan menjawat jawatan dalam pemerintahan dan sebagainya. Kebanggaan (keegoan) mereka itu ditunjukkan melalui mereka mengenakan pakaian mewah dan pakaian kebesaran, kemewahan pada tempat tinggalnya, kemewahan kenderaannya dan lain-lain hiasan yang menunjukkan kelebihan kedudukannya.


Keadaan demikian sehingga timbul rasa ego dalam hatinya terhadap orang kebanyakan dan orang-orang miskin. Memisahkan diri dari orang yang tidak setaraf. Segala kelebihan yang ada pada dirinya menjadikan ia lebih sombong dan jauh daripada Allah dan hilang sifat tawadhuknya.

6. Apabila Ia Memiliki Kekuatan Dan Kecergasan Tubuh Badan

Orang yang memiliki tubuh badan yang gagah serta ia mempunyai kepandaian dibidang pencak silat umpamanya, cekap bermain senjata dan lain-lain tidak akan terlepas lari daripada dihinggapi oleh rasa ego terhadap orang yang lemah. Ia sentiasa merasa dirinya gagah dan pantang terusik ia akan membelasah orang yang lemah dan tidak berdaya itu.


Rasa ego dalam persoalan ini sentiasa menghinggap kepada hati para ahli tinju, gusti, pencak silat, karate dan lain-lain. Kerana hendak menunjukkan kegagahan mereka sering mengadakan demonstrasi (pertunjukan) jenis-jenis permainan tersebut. Tidak terkecuali juga tergolong bersifat ego ialah para ahli sukan yang menyertai setiap acara dan pesta untuk menunjukkan kehebatannya mengatasi ahli-ahli sukan yang lain.

7. Rasa Ego Disebabkan Banyak Pengikut Dan Pengaruh

Perasaan ini selalu menjangkiti akan para tokoh dan pemimpin masyarakat samada diperingkat kampung, daerah, negeri dan negara. Tidak terkecuali juga terhadap para ulama yang didapati ramainya murid-murid yang datang belajar ilmu kepadanya. Syaitan tidak akan melepaskan peluangnya untuk membisikkan perasaan ego ke dalam hatinya, menganggap ia mempunyai kelebihan dibidang ilmu agama.


Penyakit ini bukan sahaja menghinggapi para pemimpin masyarakat dan para ulama sahaja, malah kepada siapa sahaja yang tugasnya hampir dengan masyarakat terutama yang berkaitan dengan urusan yang menarik perhatian masyarakat terhadapnya untuk keperluan mendapatkan sesuatu. Biasanya ia tidak akan melaksanakan sesuatu urusan masyarakat tanpa ia lebih dahulu diberi penghormatan atau dibayar ganjaran, semata-mata kerana jasa dan baktinya.


Sebelum ia memberi pertolongan, orang hendaklah memujinya dahulu atau ia akan memberi perhatian atau mempercepatkan urusannya apabila ia disanjung dengan panggilan pangkat dan bintang. Kalau orang hendak menyebut namanya mesti sebut dulu Datuk, Tan Sri, Yang Berhormat atau sekurang-kurangnya panggil Tuan.


Demikianlah diantara beberapa kelebihan yang kalau dimiliki oleh orang yang jiwanya kotor dengan sifat-sifat mazmumah boleh mendorong ia bersifat ego merasai diri mempunyai kelebihan dan mulia sebaliknya menganggap orang lain kurang dan hina.


Perasaan demikianlah yang mula-mula menyerang iblis sehingga ia sanggup mencabar Tuhan dengan katanya :

" Kenapa aku mesti sujud kepada Adam, aku dijadikan daripada api sedangkan ia (Adam) dijadikan daripada tanah, aku lebih mulia daripadanya. "


Sebenarnya hakikat orang yang memiliki perkara-perkara yang dirasakan suatu kesempurnaan dan kelebihan mengatasi orang lain itu adalah orang yang tidak sempurna. Sebenarnya apa yang diyakini sebagai suatu kesempurnaan atau kelebihan itu ialah perasaannya sahaja. Perasaannya sahaja yang merasakan ia sempurna dan mulia, sedangkan sebenarnya ia mempunyai kekurangan dan kehinaan di mata orang lain lebih-lebih lagi di sisi Allah.

*artikel ni bukan izzah buat sendiri, just copy dari email yang cu bagi.. mekasih cu...!!

*manusia memang tak pernah lari dari perasaan ego nih.. (rsenye semua orang ade kot.. tak banyak , sikit..) tapi apa yang membezakannya sejauh mana kita berusaha melawan perasaan nih.. erk...!!

*kalau ego pasal benda yang baik pulak macam mana..?? contoh, tak pernah rasa puas dengan sesuatu perkara yang kita lakukan, jadi kita berusaha untuk terus memperbaiknya sehabis mungkin.. (perfectionist bak kata orang kampung saya..) hmm.. camne lak tuh??

*macam mana nak pulihkan ego ni?? iaitu dengan sentiasa memperbaharui taubat dan banyakkan solat malam.. erk lagi sekali..!!!

*sharing is caring.. but somehow aiza said before, caring always got meaning.. hahaha takyah le sampai nak kongsi gula-gula yang satu..

*tingkatkan prestasi, kurangkan kontroversi..!!!

0 orang aminkan doa saya..: